Keratan Akhbar Mengenai Isu Rokok Kiddie

MAEH Press Release Regarding Cigarette Kiddie Pack

KENYATAAN AKHBAR
PERSATUAN KESIHATAN ENVIROMEN MALAYSIA (MAEH)

Sukacita dimaklumkan Persatuan Kesihatan Environmen Malaysia (MAEH) merupakan badan profesional bagi pengamal kesihatan persekitaran di Malaysia yang majoritinya dianggotai oleh Pegawai Kesihatan Persekitaran (PKP) dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran (PPKP). Persatuan ini juga merupakan ahli gabungan kepada International Federation of Environmental Health (IFEH).

  1. MAEH memandang serius isu terkini mengenai cadangan penjualan rokok dalam kiddie pack (pek bersaiz kurang daripada 20 batang) dalam pasaran Malaysia, walaupun Kerajaan Malaysia telah mengharamkan penjualan kiddie pack sejak 1 Jun 2010, berdasarkan Peraturan 16, Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

  2. Sebagai sebuah persatuan profesional yang sangat prihatin mengenai impak kesihatan persekitaran terhadap manusia, MAEH ingin menegaskan bahaya rokok kepada kesihatan. Berdasarkan kenyataan oleh YB Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, Menteri Kesihatan Malaysia bilangan kematian akibat merokok adalah seramai 20,000 orang pada setiap tahun. Menurut Kajian Morbiditi Kebangsaan 2015 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, prevalen merokok di kalangan penduduk berumur 15 tahun ke atas adalah 22.8% yang melibatkan anggaran penduduk seramai 4.9 juta orang.

  3. MAEH menyokong penuh pendirian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dengan mengekalkan pengharaman penjualan rokok di dalam bungkusan kiddie pack (kurang daripada 20 batang). Disamping itu MAEH menyeru supaya pihak KKM dan agensi pusat menyemak dan mengkaji bilangan PKP/PPKP yang menguatkuasakan undang-undang berkaitan agar penguatkuasaan dapat dijalankan secara menyeluruh.

  4. MAEH dengan ini menggesa semua pihak yang bertanggungjawab seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, Kastam DiRaja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Kementerian Perdangangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara dan agensi-agensi yang berkaitan agar berkerjasama dan mengambil langkah-langkah yang lebih tegas bagi menangani masalah merokok.

  5. MAEH sentiasa bersedia memberikan kerjasama dan berkongsi kepakaran dengan mana-mana agensi dan badan bukan kerajaan bagi
    menangani gejala ini.

Demi Kesejahteraan Manusia Sejagat

Sekian, terima kasih.

TEE ENG ONG
Presiden Persatuan Kesihatan Environmen Malaysia (MAEH)
(Registration No. 1105/09 W.P)
No 29-2, Jalan Equine 1A, Taman Equine
43300 Seri Kembangan Selangor
Tel: 03-89597878, Fax: 03-89538222, Email: admin@maeh4u@org.my

KENYATAAN AKHBAR MAEH BERKAITAN ISU ROKOK KIDDIE PACK 4 SEP 17